Sunday, December 30, 2012

Kenapa Mama Bertudung???

Mama mula tertarik untuk memakai tudung ketika usia mencecah 9 tahun. Jika ditanya kenapa Mama berminat sangat untuk memakai tudung ketika itu? Jawapannya... suka tengok kawan-kawan yang memakai tudung! Macam Tisya, kecik-kecik dah nak pakai tudung... Kalau ditanya, "Kenapa Tisya nak pakai tudung?" Jawab Tisya, "Sebab Mama dan Kakak pakai tudung." :)

Itulah antara kecenderungan manusia... meniru perlakuan (TELADAN) orang lain walau adakalanya tidak tahu apa tujuan yang sebenar-benarnya... sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Menginjak ke usia remaja, Mama masih mengekalkan tudung di atas kepala dengan niat yang sama (mengikut kawan-kawan) sehinggalah Mama mendapat tawaran memasuki sebuah Universiti Tempatan.

Tiba-tiba ada satu keinginan di hati Mama untuk 'MERASA BEBAS' termasuk menanggalkan tudung yang ada di kepala sebelum ini... (Astagfirullah... semoga Allah SWT mengampuni kejahilan silam Mama)

Namun dalam tempoh itu jugalah Mama dapat MERASAKAN SESUATU KEKURANGAN akibat keputusan yang Mama ambil itu... sering terdedah kepada keadaan yang tidak selamat... diganggu oleh lelaki-lelaki nakal misalannya... aduhhh... sakit hati dibuatnya!

Sebaik saja Mama menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran keluar negara, hati Mama telah nekad membuat keputusan untuk mengenakan semula tudung di atas kepala. Niat Mama ketika itu kerana Mama akan mengembara ilmu ke satu negara yang berminoriti Muslim. Jauh pula dari pandangan kedua orang tua... Sejujurnya niat Mama mengenakan tudung di atas kepala ketika itu dengan harapan akan mencegah diri Mama dari berkelakuan yang merosakkan imej sebagai seorang Muslim di mata masyarakat Barat di sana... dan semestinya mengelakkan gangguan-gangguan yang telah mama alami sebelum itu.

Dan kini... dalam usaha Mama mencari dan terus mencari erti hidup ini... Mama kini lebih faham dan ingin memperbaiki niat Mama bertudung...

Kerana Mama ingin sekali mendapat kasih sayang dari Dia yang menjadikan kita. Mendapat redha-Nya... Itulah SEBAIK-BAIK TUJUAN DALAM HIDUP dalam kerangka pandangan hidup Mama... Demi menzahirkan RASA RENDAH DIRI & TERIMA KASIH Mama pada Pencipta dengan mengikut suruhan dan menjauhi segala laranganNya... umpama seorang anak yang sangat mengasihi kedua ibubapanya dan akan cuba sedaya upaya menzahirkan kasih sayangnya melalui perlakuannya.

Mama harap anak-anak Mama begitu juga... berpeganglah pada prinsip hidup yang baik...

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An-Nur : Ayat 31)

No comments:

Post a Comment