TIDAK dinafikan apabila kita berbicara tentang kelemahan, pasti kita akan kaitkannya dengan wanita. Kerana itulah wanita sering menjadi mangsa penipuan.
Tapi itu adalah wanita biasa bukan wanita beriman. Wanita yang beriman menjadi akar kekuatan kepada mereka di sekelilingnya. Wanita beriman juga membataskan emosi dan perasaannya berpaksikan iman yang tinggi dan akidah yang kuat.
Rasullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa: “Aku tidak tinggalkan dugaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dan sabda Baginda lagi :“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).
Jika dirungkaikan semula perjalanan sejarah silam dapat kita lihat bagaimana kekuatan Cleopatra yang terkenal dengan kecantikan dan kebijaksanaannya sehingga mampu menundukkan keegoan Julius Caesar.
Begitu juga dengan jelitawan Mumtaz Mahal yang sering menjadi inspirasi kepada Shah Jehan sehingga terbina monumen cinta mereka sebagai bukti kekuatan cinta wanita.
Di sudut yang lain kita dapat lihat bagaimana kuatnya cinta dan kebijaksanaan Khadijah dan Aisyah dapat memberi penyuntik semangat kepada segala penawar dan luka Baginda Rasulullah SAW.
Jika dilihat Fatimah juga bermain dengan perasaannya apabila ingin mengambil perhatian Saidina Ali RA, namun kecerdikannya membuatkan emosinya membahagiakan Ali. Asiah yang teguh imannya pada ALLAH yang satu menepis segala kemewahan dunianya.
Maka apabila dilihat perbezaan antara Cleopatra dan Mumtaz Mahal dengan Khadijah Aisyah, Fatimah dan Asiah yang jelas ketara adalah tahap keimanan mereka yang berjaya membuktikan bahawa wanita Muslim tidak lemah.
Sebagai wanita Islam beberapa garis panduan ditetapkan ALLAH SWT sejak tradisi hingga ke zaman kontemporari semata-mata untuk memastikan wanita tidak terus dianiaya dan sentiasa dipandang tinggi. Antaranya adalah:
1. Sentiasa mentaati ALLAH dan Rasul serta mentaati suami di samping sentiasa melaksanakan ibadah dan menjaga akhlak dan tingkah laku.
2. Menjauhi pergaulan bebas tanpa batasan dan membataskan pergaulannya menurut keperluan. Berbicara manja dan mesra dengan suami tetapi bernada tegas dan jelas dengan bukan muhrim.
3. Menjaga maruah dan kehormatan serta keluar dari rumah bertemankan suami atau muhrim.
4. Menjaga perhiasannya agar tidak berlebihan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Makanlah kamu dan bersedekahlah serta berpakaianlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah. (Riwayat an-Nasaie)
5. Menghormati ibu bapa dan orang tua di samping menjaga aurat dengan sempurna.
ALLAH SWT berfirman dalam surah Ali Imran , ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda tanda bagi orang orang yang berakal iaitu orang orang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata) Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka”.
Sinar Harian, 6 Jul 2014
No comments:
Post a Comment