Saturday, March 8, 2014

MH370: Iktibar dan Harapan

Mama perhatikan anak ketiga Mama yang berusia 11 tahun ini begitu bersungguh mengikuti perkembangan MH370 yang dilaporkan hilang dari radar kawalan. Tak pasti apakah anak-anak lelaki seusianya yang lain mempunyai reaksi sepertinya juga pada ketika ini.

Semasa Mama menyapu daunan kering di laman rumah yang begitu banyak kesan kemarau yang agak lama ini, dia datang menghampiri Mama. "Mama, Acik nak jadi pilot." Wah, nadanya full stop! Penuh tekad. Sambil dia menggayakan tangannya seakan mengawal stereng pesawat dalam keadaan cemas. Penuh imaginasi...

Mama termenung seketika, mati kata-kata. Cuba bayangkan rasa hati seorang ibu apabila mendengar kata-kata begitu pada ketika suasana ternanti-nanti akan kabar berita nasib penumpang dan anak kapal MH370 itu. Itu reaksi spontan Mama yang adakala lebih kepada mengikut perasaan sendiri Mama kira.

Namun, Mama betulkan semula sisi pandang itu. Ajal satu yang amat misteri. Ada yang sampai ajal hatta di dalam rumah sendiripun.

Lantas, Mama mula menyusun kata.

"Acik, jadilah apa Acik cita-citakan asalkan ia dapat beri manfaat pada orang lain. Tapi... jika mahu jadi pilot, jadilah pilot yang Mukmin, jika mahu jadi askar, jadi askar yang Mukmin"

Sambung Mama lagi... "Maksudnya, Acik tak tinggal solat. Acik tak buat apa yang Allah tegah, Acik buat apa yang Allah suruh agar jika sudah sampai ajal semasa Acik menjalankan tugas, Mama rasa tenang dan redha kerana tahu Acik ada berusaha untuk jadi hamba Allah yang baik. Acik sebenarnya pulang ke pangkuan Allah di tempat yang lebih baik."

Ajaibnya, pesanan Mama kepada anak Mama itu seakan boomerang yang berpatah balik pada diri Mama sendiri. "Dan kamu yang bercakap ini, iya... kamu juga. Jadilah kamu profesional yang Mukmin juga ya."

Terasa sekali betapa Allah mendidik Mama pada ketika Mama mendidik anak Mama ini.

Kejadian yang menimpa pesawat dan semua penumpang dan kru MH370 ini buat Mama berfikir banyak perkara.

Sekiranya ditakdirkan apa yang dicita-citakan Acik menjadi realiti, Mama membayangkan Acik memulakan penerbangan dengan lafaz "Bismillah" dan memimpin bacaan doa di dalam pesawat meletakkan sepenuh pergantungan pada Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa di langit dan bumi. Para pramugarinya begitu tertib layanan dan sopan pakaiannya serta mesra mengingatkan tentang waktu solat.

Perjalanan menuju ke destinasi yang sememangnya tidak menentu itu ditenangkan dengan alunan yang mententeramkan jiwa hingga membuatkan hati tak lekang mengingati Pencipta sambil mata memandang keluar pesawat melihat pada segala tanda kekuasaan-Nya.

Dan pada ketika ini, sesungguhnya doa Mama buat semua penumpang dan kru MH370 yang masih lagi tidak ditemui. Pergantungan sepenuhnya pada Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik dan hikmah di atas segala perancangan-Nya atas kejadian MH370 ini...

No comments:

Post a Comment